Selasa, 20 Februari 2018 | 2:10pm
LOKASI kejadian selepas kemalangan yang mengorbankan seorang pemandu serta mencederakan dua penumpang, di KM 16 Jalan Papar-Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Pembaca
LOKASI kejadian selepas kemalangan yang mengorbankan seorang pemandu serta mencederakan dua penumpang, di KM 16 Jalan Papar-Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Pembaca

Guru maut, 2 murid cedera nahas ke sekolah

PENAMPANG: Seorang guru wanita maut, manakala dua muridnya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka, bertembung sebuah kenderaan lain yang terbabas di Kilometer 16 Jalan Papar - Kota Kinabalu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Itum Likum, 52, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Lok Kawi, meninggal dunia ketika dalam perjalanan dikejarkan untuk rawatan kecemasan di hospital.

Dua muridnya, Najwa Batrisyia Japri dan Nurul Syafiqah Mohd Saleh, masing-masing patah kaki serta gigi, manakala tiga lagi murid iaitu Mohammad Ashraf Mohd Salleh; Nur Aimie Shakira Suhaimi dan Muhammad Ilman Suhaimi, terselamat.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke arah Papar, terbebas merempuh pembahagi jalan.

"Kejadian itu menyebabkan kenderaan terbabit memasuki laluan bertentangan lalu bertembung pacuan empat roda Ford Ranger yang dipandu guru berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa bersama lima murid berusia di antara 10 hingga 12 tahun itu dalam perjalanan ke SK Kem Lok Kawi.

"Guru terbabit disahkan meninggal dunia dalam ambulans oleh pegawai perubatan ketika dalam perjalanan untuk rawatan kecemasan, manakala semua muridnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk rawatan lanjut.

"Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kemalangan berasingan di Kota Marudu, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sendiri di Jalan Lotong berhampiran Hospital Kota Marudu, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Ketika kejadian, mangsa, Datu Ismail Datu Koyoh, 50, memandu Proton Iswara dari Kampung Timbang Batu menuju ke arah Hospital Kota Marudu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kenderaan mangsa gagal dikawal dan terbabas ke kiri jalan mengakibatkan mangsa parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

Berita Harian X