Selasa, 20 Februari 2018 | 12:24pm
ANGGOTA Jabatan Imigresen Tawau, berjaya menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam pemeriksaan berasingan di dua kawasan perumahan dua tingkat, dekat Taman Green dan kawasan Taipan Jalan Kuhara, di Tawau. - Foto Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia.

13 PATI Filipina, Indonesia dicekup

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia daerah Tawau (Imigresen Tawau) menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam pemeriksaan berasingan di dua kawasan perumahan dua tingkat dekat Taman Green dan kawasan Taipan Jalan Kuhara, di sini, tengah malam tadi.

Dalam Ops Mega (Sapu dan Kutip) bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu, seramai 19 warga asing diperiksa membabitkan warga Indonesia dan Filipina.

Ketua Imigresen Tawau, Noraini Rasi, berkata daripada jumlah warga asing yang diperiksa, 13 yang ditahan masing-masing terdiri daripada tiga lelaki dan lapan wanita warga Indonesia serta seorang lelaki dan wanita warga Filipina, berumur 21 hingga 63 tahun.

"Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 termasuk gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Sebahagian yang lain ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan, selain menyalahgunakan pas atau permit perjalanan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Noraini berkata, mereka yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X