Selasa, 20 Februari 2018 | 12:15pm
KETUA Polis Daerah Sungai Buloh Supt S. Somu (kanan) bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Osman menunjukkan senarai nama mangsa hilang dikhuatiri lemas sekitar Sungai Gasi. - Foto BERNAMA

Kes kematian di air membimbangkan - JBPM

SUNGAI BULOH: Jumlah kehilangan nyawa membabitkan kematian di air mencatat perkembangan yang membimbangkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Azmi Osman, berkata sehingga semalam, jumlah kematian di air yang direkodkan di Selangor adalah 12 orang.

"Jumlah mangsa yang terbabit dalam kes mati lemas ini agak membimbangkan. Setakat Januari, sudah tujuh kematian dan dicampur dengan kes terbaharu ini sudah 12 kes di Selangor

"Sebanyak 10 kes berlaku ketika menjalankan aktiviti di sungai sementara dua lagi ketika aktiviti di tali air.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 24 kes direkodkan. Jika dibuat perbandingan, sehingga Februari tahun lalu, hanya tiga kematian direkodkan," katanya.

Azmi berkata, setiap masyarakat perlu lebih peka dan serius dengan isu keselamatan ketika berada di air.

"Jangan lakukan aktiviti air di sungai atau tali air, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang," katanya.

Dalam insiden terbaharu petang semalam, lapan pemancing dihanyutkan arus deras di Sungai Gasi, di sini.

Daripada jumlah itu, tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri, dua sudah ditemui sementara tiga lagi masih hilang.

15 dibaca
Berita Harian X