Selasa, 20 Februari 2018 | 10:51am
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan pemantauan mencari mangsa lemas di tebing sungai ketika operasi mencari dan menyelamat pemancing dihanyut arus di Sungai Gasi, Sungai Buloh. - Foto Syarafiq Abd Samad
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan pemantauan mencari mangsa lemas di tebing sungai ketika operasi mencari dan menyelamat pemancing dihanyut arus di Sungai Gasi, Sungai Buloh. - Foto Syarafiq Abd Samad

Operasi SAR diperluas sejauh 20 kilometer

SUNGAI BULOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi pemancing yang dihanyutkan arus di Sungai Gasi, dekat sini, diteruskan dengan jarak pencarian diperluaskan sehingga 20 kilometer.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Azmi Osman, berkata berdasarkan kepada pergerakan arus yang deras dan penemuan dua mayat mangsa semalam, pencarian akan ditumpukan sepanjang 20 kilometer daripada lokasi kejadian.

"Seramai 70 anggota bomba dan 86 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambung operasi SAR hari ini.

"Dua ekor anjing juga ditambah bagi mencari kesan yang boleh membantu kita menemui mangsa yang masih hilang.

"Kita sudah jumpa dua mangsa yang disahkan sudah meninggal dunia dan masih mencari tiga lagi, " katanya kepada pemberita dalam sidang media, sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu, berkata dua mangsa yang ditemui sudah disahkan identiti mereka.

"Mayat pertama yang ditemui dikenali sebagai Hashir, 38 tahun, berasal dari Indonesia, manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai Jamaluddin Rapawi, 14.

"Tiga lagi mangsa yang masih belum ditemui ialah bapa kepada Jamaluddin iaitu Rapawi Jum'ada, 37, Jeleha Hashim, 48, dan Silawati Zailan.

"Mayat sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan bedah siasat akan dijalankan hari ini sebelum mayat diserahkan kepada ahli keluarga mangsa.

"Pada mulanya kita menjangka ada empat lagi mangsa yang masih hilang kerana satu mayat yang ditemui semalam masih belum disahkan identitinya.

"Sebaik saja identiti mayat Hashir disahkan, kita sebenarnya masih mencari tiga lagi mangsa," katanya.

Somu berkata, kejadian ini yang kali pertama berlaku di lokasi berkenaan sejak tahun 2013.

Katanya, satu notis akan dikeluarkan bagi melarang orang awam memancing di kawasan berkenaan atas faktor keselamatan.

Berita Harian X