Selasa, 20 Februari 2018 | 10:34am
SEBAHAGIAN daripada ahli keluarga menunggu di lokasi kejadian mangsa lemas di tebing sungai ketika operasi mencari dan menyelamat pemancing dihanyut arus di Sungai Gasi, Sungai Buloh. - Foto Syarafiq Abd Samad
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan pemantauan mencari mangsa lemas di tebing sungai ketika operasi mencari dan menyelamat pemancing dihanyut arus di Sungai Gasi, Sungai Buloh. - Foto Syarafiq Abd Samad
ANGGOTA penyelamat giat dijalankan bagi mengesan mangsa yang masih hilang. - Foto Syarafiq Abd Samad

12 jam menunggu

SUNGAI BULOH: "Kami akan tunggu di sini sehingga ada berita mengenai kakak saya," kata Yati Hashim ketika ditemui sebaik sahaja bangun daripada tidur di Sungai Gasi, di sini, hari ini.

"Selepas mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa kakak saya (Jeleha Hashim, 48) kira-kira jam 9 malam tadi, saya bersama anak kakak terus ke sini dari Ulu Klang.

"Sepanjang malam kami tidak boleh lelapkan mata memikirkan nasib kakak saya. Kami ambil keputusan untuk terus duduk di sini sehingga kakak saya ditemui," katanya.

Tiga anak Jeleha yang bersama-sama Yati adalah Muhd Badrul Baharin, Umie Juliana dan Siti Nurjannah.

Sementara itu, Muhd Badrul Baharin Syamsul Azhar, 21, berkata kali terakhir beliau menemui ibunya adalah pada Ahad lalu.

"Kebelakangan ini, ibu semakin kerap keluar untuk pergi memancing, dia memang minat memancing.

"Ahad lepas adalah kali terakhir saya menatap wajah ibu saya, itu pun cuma nampak sekali imbas kerana dia berada di dalam kereta," katanya.

Jeleha bersama suaminya, Syamsul Azhar Maula Ismail, 33, adalah antara lima mangsa yang dihanyutkan arus deras ketika sedang memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh, jam 5 petang semalam.

Syamsul Azhar berjaya menyelamatkan diri, manakala dua mangsa disahkan maut akibat kejadian itu.

Mangsa pertama ditemui pada jam 9.50 malam kira-kira 8.2 kilometer dari lokasi kejadian, manakala mayat kedua ditemui jam 1.26 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi penemuan awal.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Berita Harian X