Selasa, 20 Februari 2018 | 12:34am
PIHAK berkuasa meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing di Sungai Gasi, Sungai Buloh, malam ini. - Foto NSTP

Operasi SAR kumpulan pemancing diteruskan

SUNGAI BULOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing dihanyut arus di Sungai Gasi, dekat sini, diteruskan sehingga semua mangsa ditemui.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hassan As'ari Omar berkata, pihaknya menggerakkan dua Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan dua bot untuk mencari mangsa.

"Ketika ini operasi SAR diteruskan dengan 70 anggota daripada pelbagai agensi.

"Pemantauan dilakukan di sepanjang sungai sehingga ke Kuala Selangor dengan beberapa 'check point' di Jambatan Kubu Gajah, Jambatan Merbau Sempak dan kawasan perangkap sampah Bestari Jaya serta Kuala Selangor, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pusat operasi dekat Kampung Paya Jaras Hulu di sini, malam ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu, berkata mayat pertama ditemui jam 8.40 malam tadi.

"Mayat seorang lelaki ditemui jam 8.40 malam tadi dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

"Identiti mayat belum dikenal pasti dan kita sudah menghubungi pihak keluarga untuk membuat pengecaman," katanya.

Beliau berkata, setakat ini laporan diterima membabitkan lima mangsa dihanyutkan arus dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu dan belum menerima tambahan laporan kehilangan lain.

Berita Harian X