Isnin, 19 Februari 2018 | 11:28pm
ANGGOTA bomba mengusung mayat seorang lelaki dipercayai kumpulan pemancing yang dihanyutkan arus ketika memancing di Sungai Gasi, yang ditemui kira-kira tujuh kilometer (km) dari lokasi kejadian, malam tadi. - Foto Mahzir Mat Isa
ANGGOTA bomba mengusung mayat seorang lelaki dipercayai kumpulan pemancing yang dihanyutkan arus ketika memancing di Sungai Gasi, yang ditemui kira-kira tujuh kilometer (km) dari lokasi kejadian, malam tadi. - Foto Mahzir Mat Isa

Pemancing hilang: Mayat lelaki ditemui

SUNGAI BULOH: Mayat seorang lelaki dipercayai kumpulan pemancing yang dihanyutkan arus ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Paya Jaras Markas Angkatan Tentera Malaysia, Rejimen Perhubungan Strategik di sini petang tadi, ditemui kira-kira jam 10 malam tadi.

Mayat ditemui kira-kira tujuh kilometer (km) dari lokasi kejadian tetapi identitinya belum dikenal pasti.

Setakat jam 11 malam tadi, empat lagi pemancing termasuk dua wanita belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu, berkata pihaknya menerima tiga laporan daripada tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun yang terselamat dalam kejadian itu.

Katanya, dua daripada mereka ke lokasi itu bersama isteri masing-masing berusia 30 dan 48 tahun serta dua rakan pasangan anak beranak berusia 37 dan 14 tahun, sebelum dihanyutkan arus deras sungai berikutan air pasang.

"Pada masa sama, seorang lelaki warga Indonesia yang terselamat memaklumkan seorang rakannya hilang dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Somu berkata, berdasarkan maklumat awal, beberapa kumpulan pemancing lain turut berada di lokasi berkenaan.

"Kami dimaklumkan ada sekumpulan pemancing warga asing berada di lokasi berkenaan dan dikhuatiri turut lemas.

"Kerja mencari dan menyelamat dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor giat dijalankan untuk mengesan mangsa," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ahli keluarga yang keluar memancing di daerah itu tetapi belum pulang, diminta menghubungi polis.

Berita Harian X