Isnin, 19 Februari 2018 | 10:00pm

'Pautan isteri terlepas...'

SUNGAI BULOH: "Saya nampak tangan isteri terkapai-kapai meminta tolong, saya terjun semula tapi arus terlalu kuat."

Mohd Rizal Mat Desa, 31, berkata isterinya, Shilawati Zailan, 31, bersungguh-sungguh mengajak ingin pergi memancing hari ini.

Mohd Rizal berkata, mereka memancing bersama ibu saudara isterinya, Jaleha Hashim, 53, dan bapa saudara, Syamsul Azhar, 32, di bawah jambatan bersama beberapa pemancing lain yang tidak dikenali.

"Tiba-tiba arus deras yang mungkin kepala air bergerak ke arah kami dan kami tak sempat berbuat apa-apa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Rizal berkata, mereka cuba berpaut pada pokok sebelum seorang demi seorang pemancing dihanyutkan arus.

Beliau turut memegang tangan isteri sebelum pautan terlepas.

"Saya terjun ke sungai untuk menariknya tapi tak dapat. Saya terjun beberapa kali dan berjalan menghala ke hilir sungai sehingga badan lemah," katanya.

Shilawati adalah antara lima pemancing yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Gasi berhampiran Kem Paya Jaras Markas Angkatan Tentera Malaysia, Rejimen Perhubungan Strategik, Sungai Buloh di sini, kira-kira jam 5 petang tadi.

Sementara itu, saksi kejadian Ahmad Nizam Abdul Kadir, 45, berkata penduduk setempat tidak memancing di kawasan berkenaan kerana kedalaman airnya hampir tiga meter.

"Hujan lebat semalam menyebabkan paras sungai meningkat," katanya ketika ditemui di lokasi, malam ini.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama polis membuka pusat operasi kira-kira tujuh kilometer dari lokasi yang juga perangkap sampah dekat Kampung Paya Jaras, di sini.

ANGGOTA bomba, polis dan pertahanan awam berusaha mencari mangsa lemas di Sungai Gasi berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh di Sungai Buloh. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X