Isnin, 19 Februari 2018 | 5:12pm
KEADAAN motosikal dinaiki Muhammad Zulfakar selepas terbabit dalam kemalangan bersama adik perempuannya, Nurfatin Atikah di Kilometer 27.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) Kulai. - Foto ihsan pembaca

Dua beradik temui ajal bersama

KULAI: Dua beradik terbunuh, apabila motosikal ditunggang terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan sebelum dirempuh kereta dalam nahas di Kilometer 27.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, penunggang Honda Wave, Muhammad Zulfakar Zainal Abidin, 22, mati ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI).

Beliau berkata, adik perempuan mangsa, Nurfatin Atikah Zainal Abidin, 19, yang membonceng, mati di tempat kejadian akibat pelbagai kecederaan susulan rempuhan yang dialami mereka. Katanya, dua beradik itu berasal dari Parit Bachok, Benut.

"Siasatan awal mendapati, dua beradik itu dalam perjalanan dari arah utara ke selatan sebelum motosikal mereka terbabas di tempat kejadian.

"Honda Wave berkenaan terbabas melanggar besi pembahagi laluan, menyebabkan penunggang terpelanting ke dalam longkang di sebalik pembahagi jalan manakala adik perempuannya terjatuh di atas lebuh raya.

"Ketika itu, sebuah Honda Civic yang melalui laluan sama gagal mengelak, menyebabkan ia terlanggar mangsa perempuan sebelum terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan. Pembonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Dzulkhairi berkata, kemalangan maut itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

40 dibaca
Berita Harian X