Isnin, 19 Februari 2018 | 4:32pm
MOHMAD Salleh (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) negeri, Bukit Beruang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Dadah teh Cina RM3.7 juta dirampas

MELAKA: Sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini tumpas apabila dadah yang dibungkus menggunakan pembalut teh Cina bernilai RM3.7 juta dirampas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di sebuah rumah di Malim, di sini, Sabtu lalu.

Selain dadah disorokkan dalam tong ais itu, polis turut menahan lapan suspek termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 31 tahun dalam dua serbuan di dua rumah, antara jam 2.30 pagi hingga 6.30 petang, hasil maklumat dan risikan.

Pengarah JSNJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata antara dadah dirampas adalah 52.82 kilogram syabu, 33 gram ketamin dan sebiji pil estacy.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan.

"Polis turut merampas sejumlah wang tunai, barangan kemas bernilai RM10,000, dua kereta PROTON Wira dan dua motosikal berjumlah lebih RM54,000.

"Rampasan dadah ini adalah yang terbesar di Melaka setakat ini dan jumlah bahan terlarang dirampas dipercayai mampu dibekalkan kepada kira-kira 260,000 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan.

Mohmad berkata, pihaknya percaya semua dadah berkenaan untuk pasaran di sekitar negeri ini dan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui berapa lama sindiket ini menjalankan kegiatan pengedaran dadah, selain laluan yang mereka gunakan.

"Selain itu, hasil ujian air kencing juga mendapati empat daripada lapan suspek yang ditahan positif dadah dan turut mempunyai rekod jenayah lalu," katanya.

Mohmad berkata, semua suspek yang ditahan direman selama seminggu sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

56 dibaca
Berita Harian X