Isnin, 19 Februari 2018 | 4:20pm

Penjual gajet tiruan semakin berani

SERI KEMBANGAN: Pengguna atau pembeli aksesori telefon bimbit perlu lebih berhati-hati kerana penjualan gajet berjenama tiruan bukan hanya dijual di pasar jalanan atau pasar malam, namun ada peniaga sudah berani menjualnya di pusat beli-belah.

Ini berikutan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesan aktiviti penjualan aksesori tiruan yang menggunakan jenama terkenal susulan laporan daripada pemilik cap dagang.

Susulan daripada itu, Penguatkuasa KPDNKK menyerbu lima kedai menjual gajet di sebuah pasar raya di Persiaran Serdang Perdana, Taman Serdang Perdana, dekat sini, minggu lalu.

Hasilnya, sebanyak 24,000 unit aksesori telefon bimbit tiruan pelbagai jenama bernilai kira-kira RM 250,000 ditemui dari premis berkenaan.

Operasi Khas bermula jam 11 pagi itu membabitkan 33 orang anggota Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya dengan bantuan anggota KPDNKK Selangor bersama pemilik cap dagang telefon bimbit.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, pihaknya mendapat maklumat dan aduan mengenai penjualan barangan tiruan berkenaan sebelum melakukan risikan selama tiga bulan.

"Kami melakukan pemeriksaan ke atas lima premis dan hasilnya merampas pelbagai aksesori telefon bimbit tiruan menggunakan jenama JBL, Apple, Beats, Oppo dan Samsung.

"Jumlah keseluruhan produk yang dirampas adalah 24,000 unit yang dianggarkan bernilai 250,000," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Roslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000.00 bagi setiap barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau

kedua-duanya sekali.

"KPDNKK akan meneruskan kerjasama dengan pemilik cap dagang dan lain-lain agensi dalam usaha melindungi hak pengguna dan hak harta intelek milik industri.

"Peniaga kini sudah berani menjual barangan tiruan di pusat beli-belah, ternama di ibu kota untuk menutup kegiatan mereka dengan harapan pembeli terpedaya kononnya barangan yang dijual adalah asli.

"Malah ia turut dijual lebih mahal berbanding barangan tiruan yang dijual di pasar malam," katanya.

Berita Harian X