Isnin, 19 Februari 2018 | 11:03am
ANGGOTA penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah membuat pemeriksaan ke atas 85 warga asing pelbagai warganegara dalam Ops Mega di empat rumah kongsi berasingan di tapak pembinaan di Mukim Naga, Kepala Batas, awal pagi tadi. - Foto Ihsan JIM Kedah

54 PATI ditahan dalam Ops Mega

ALOR SETAR: Tindakan cekap anggota penguat kuasa Imigresen membuat kepungan di kebun getah berhampiran tapak pembinaan di Taman Seri Naga, Kepala Batas, dekat sini, berjaya menghalang 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri dalam Ops Mega, awal pagi tadi.

Operasi tiga jam bermula jam 1 pagi itu disertai 21 anggota penguat kuasa imigresen dan 50 anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata pihaknya bersama bersama anggota RELA berjalan sejauh hampir 200 meter dari kawasan tapak pembinaan bagi mengelak PATI melarikan diri ke kebun getah berhampiran.

Menurutnya, seramai 85 warga asing pelbagai warga negara, termasuk kanak-kanak diperiksa dalam operasi membabitkan empat rumah kongsi di tapak pembinaan berasingan di sekitar Mukim Naga, Kepala Batas.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 29 lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak warga Indonesia, 17 lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 20 dan 57 tahun.

"Serbuan di lokasi pertama, 11 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki Indonesia dan tiga lelaki warga Myanmar diberkas, diikuti lokasi kedua seramai 15 lelaki dan dua wanita warga Indonesia.

"Di lokasi ketiga, 11 lelaki dan dua wanita warga Indonesia ditahan bersama seorang kanak-kanak perempuan, manakala di lokasi terakhir, enam lelaki Bangladesh ditahan dipercayai melakukan kesalahan imigresen," katanya di sini, hari ini.

Zuhair berkata, pemeriksaan awal mendapati 38 daripada PATI terbabit tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, 11 orang menetap lebih masa dan selebihnya melanggar syarat pas diberikan.

30 dibaca
Berita Harian X