Ahad, 18 Februari 2018 | 4:45pm
CHE Muhammad Shahninsyawal maut manakala tiga lagi rakannya cedera selepas Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Mitsubishi Pajero yang dinaiki mereka terbabas sebelum menjunam ke dalam parit di Kilometer 154 Jalan Kuantan-Johor Bahru.- Foto ihsan PDRM

Pelajar UTM maut, tiga rakan cedera

KUANTAN: Seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) maut, manakala tiga rakannya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kilometer 154 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Rompin di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, mangsa Che Muhammad Shahninsyawal Che Shahdam, 20, dari Kota Bharu, Kelantan di mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, Mitsubishi Pajero dipandu rakan mangsa, Muhammad Anas Shalahhudin, 22, dari arah Kuantan ke Johor Bahru, cuba mengelak kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

"Pemandu Mitsubishi Pajero itu cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan sebelum mereka terbabas dan jatuh ke dalam parit di sebelah kiri jalan.


Nenek mangsa, Hanazanah Abdullah, 67, menatapi gambar arwah cucunya, Che Muhammad Shahninsyawal Che Shahdam, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 154 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Rompin, Pahang yang turut membabitkan tiga lagi rakan mangsa yang cedera masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Kesemua mereka penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

"Ekoran kejadian itu, mangsa mati di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya sudah dituntut ahli keluarga, manakala tiga lagi rakannya cedera dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Azli berkata, dua lagi mangsa yang cedera ialah Muhammad Abu Hanifah Saugi, 22, dan Ahmad Syahmi Hanapi, 20.

Difahamkan mangsa yang maut adalah penuntut Tahun Satu Sarjana Muda Mekanikal Automotif UTM yang dalam perjalanan pulang ke kampusnya selepas bercuti di Kota Bharu.

Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X