Sabtu, 17 Februari 2018 | 7:03pm
PENUTUPAN kawasan perkelahan Air Terjun Sungai Sendat pernah dibuat pada penghujung 2016 dan sekali lagi ditutup serta merta semalam.

Air Terjun Sungai Sendat ragut 12 nyawa

KUALA KUBU BHARU: Umpama dahagakan nyawa manusia, Air Terjun Sungai Sendat yang dibuka Februari lalu selepas ditutup lebih setahun berikutan kes mati lemas pada penghujung 2016, meragut tiga lagi nyawa semalam.

Tragedi yang menimpa dua beradik, B Peacaiswaran, 25, dan adiknya, B Nagulan, 20, serta seorang rakan mereka, G Ganesan, 23, pagi semalam menjadi bukti bahaya yang sentiasa menanti pengunjung ke kawasan perkelahan itu.

Susulan kejadian itu juga, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengambil tindakan tegas menutup kawasan itu berkuat kuasa serta merta.

Pegawai Hutan Daerah Hulu Selangor, Syed Mohd Azdha Syed Khalid, berkata arahan penutupan kawasan itu bermula petang semalam sehingga tempoh masa yang akan ditentukan kelak.

"Kawasan air terjun ini baru saja dibuka kepada pengunjung pada awal Februari lalu tetapi berikutan kejadian mati lemas semalam, notis penutupan serta merta dikeluarkan sehingga tempoh yang tidak dinyatakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Air Terjun Sungai Sendat terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal dan menjadi lokasi perkelahan sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, hampir setiap tahun bermula 2009, kawasan itu mencatat kejadian mati lemas sehinggalah yang terbaru semalam.

Kawasan itu mula ditutup kepada pengunjung pada penghujung 2016 selepas dua kes mati lemas direkodkan pada Julai dan September.

Kronologi kes membabitkan Air Terjun Sungai Sendat

1. November 2009: Mayat lelaki berusia 18 tahun ditemui tersangkut di celah batu ketika mandi bersama 14 rakannya.

2. Januari 2010: Seorang pelajar berusia 20 tahun dari Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, ditemui mati lemas ketika berkelah bersama sembilan rakannya sempena cuti umum.

3. Disember 2010: Tiga sekeluarga berusia 10, 13 dan 19 tahun mati lemas ketika mandi bersama empat yang lain ketika cuti sekolah.

4. November 2014: Seorang lelaki berusia 18 tahun dihanyutkan arus kepala air ketika mandi bersama empat rakannya.

5. Ogos 2015: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui mati lemas ketika berkelah bersama keluarganya.

6. Julai 2016: Mayat remaja 16 tahun ditemui terapung dipercayai mati lemas ketika mandi bersama rakannya.

7. September 2016: Seorang lelaki berusia 20 tahun dari Puchong lemas ketika mandi bersama sembilan rakannya.

Berita Harian X