Sabtu, 17 Februari 2018 | 2:12pm
Pegawai polis membawa bahan bukti dipercayai berhubung kes kematian seorang bayi berusia 47 hari akibat mengalami kecederaan dalaman di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ketika menunggu bedah siasat dijalankan. - Foto Amir Irsyad Omar

Pakar gigi kaji kesan gigit pada mayat bayi

BUKIT MERTAJAM: Polis akan melakukan bedah siasat susulan, terhadap mayat bayi perempuan berusia 47 hari yang mati disyaki akibat didera ibu bapa sendiri esok, berikutan kesan gigitan yang ditemui pada mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pihaknya terpaksa menunggu kehadiran pakar gigi yang akan melihat kesan gigitan yang ditemui pada kedua-dua tangan bayi malang berkenaan.

"Kita akan menunggu kehadiran pakar gigi yang akan menjalankan bedah siasat secara terperinci esok.

"Selepas itu mungkin mayat bayi berkenaan akan diserahkan kepada waris bagi urusan pengebumian," katanya.

Semalam, polis mendedahkan punca utama kematian bayi berkenaan adalah akibat pendarahan dalam kepala.

Hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan lebam dan calar pada bahagian tubuh di bahagian kepala, muka, mulut, badan, kedua-dua lengan atas dan kedua-dua kaki serta kemaluannya.

Selain itu juga, ada kesan gigitan pada kedua-dua belah tangan mangsa.

Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan dalaman juga menunjukkan kesan pendarahan yang banyak di bawah kulit kepala dan otak mangsa.

"Organ otak mangsa juga membengkak akibat pendarahan, selain kesan kecederaan pada atas bibir.

"Selain itu banyak kesan patah dan penyembuhan pada tulang rusuk kiri dan kanan mangsa. Ada kesan patah dan penyembuhan pada lengan kanan dan kesan patah baru pada tulang peha kiri," katanya.

Katanya, kecederaan itu dipercayai berpunca daripada objek tumpul dan keras seperti lantai, dinding dan pintu termasuk juga perbuatan cubit serta hentakan.

Semalam, ibu bapa mangsa yang masing-masing berusia 22 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi kelmarin, Nurul Ain Umairah Muhamad Firdaus maut dipercayai akibat didera keluarganya dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini untuk proses bedah siasat.

Bapa mangsa yang juga seorang pemandu lori mendakwa, menyedari anaknya itu tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia di klinik berdekatan.


Ahli keluarga bayi yang berusia 47 hari meninggal dunia dipercayai mengalami kecederaan dalaman hadir ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ketika menunggu bedah siasat dijalankan. - Foto Amir Irsyad Omar

Berita Harian X