Sabtu, 17 Februari 2018 | 11:00am
G Gopal Krishnan, 45, bapa saudara B Nagulan keluar daripada bilik mayat selepas membuat pengecaman mayat mangsa di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu.

Kata-kata terakhir mangsa lemas

KUALA KUBU BHARU: "Hari ini, saya vegetarian." Itulah antara kata-kata terakhir Ganesan Gopal Krishnan, 23, yang lemas ketika berkelah di Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam, pagi semalam.

Bapanya, G Gopal Krishnan, 45, berkata mendiang tidak pernah bersikap 'pelik' seperti itu sehingga meminta pak ciknya menyediakan makanan vegetarian sehari sebelum kejadian.

Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui sejak bila anak sulung daripada tiga beradik itu adalah vegetarian.

"Dia sempat makan hidangan itu bersama pak ciknya di Klang. Rupa-rupanya, itulah riwayat terakhir dia," katanya.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi, ditemui ketika menuntut mayat anaknya di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) di sini, semalam.


Salah seorang mangsa lemas di air terjun Sungai Sendat, Ulu Yam dibawa pulang oleh anggota keluarga selepas selesai bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu, semalam. - Foto BERNAMA

Dalam kejadian semalam, Ganesan ditemui lemas bersama dua rakan, Peacaiswaran Baloo, 25, dan adiknya, Nagulan Baloo, 20.

Sementara itu, bapa saudara kepada dua beradik yang turut lemas dalam tragedi itu, M Harivalagan, 35, berkata beliau menerima panggilan daripada kakak mangsa di Kedah memberitahu kejadian menimpa Peacaiswaran dan Nagulan.

Beliau berkata, mereka berdua pergi ke kawasan perkelahan itu bersama empat rakan lain dengan menaiki motosikal.

"Nagulan seorang yang pandai berdikari dan bukan saja bekerja sebagai juruteknik di Putrajaya, malah merupakan pelakon sambilan dalam drama disiarkan televisyen kini.

"Peacaiswaran sanggup datang bercuti ke sini kerana sangat rapat dengannya tetapi tidak sangka mereka pergi serentak," katanya.

Berita Harian X