Jumaat, 16 Februari 2018 | 4:36pm
TIGA mayat mangsa lemas Sungai Sendat, Hulu Yam dibawa masuk ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu. - Foto Amrullah Abdul Karim

Tiga lemas ketika berkelah

KUALA KUBU BHARU: Tiga lelaki dilaporkan lemas ketika berkelah di Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam, dekat sini, tengah hari tadi.

Mayat semua mangsa, Peacaiswaran Baloo, 25; adiknya, Nagulan Baloo, 20 tahun dan seorang rakan mereka, Ganesan Gopal Krishnan, 23, ditemui pada jam 12.50 tengah hari.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.56 pagi.

"Seramai tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba berjaya mengesan dan mengeluarkan mayat mangsa daripada sungai berkenaan pada jam 12.55 tengah hari," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata ketiga-tiga mangsa bersama tiga lagi rakan mereka dari tiba dari Pandamaran, Klang untuk berkelah di kawasan sungai terbabit.

"Kejadian berlaku apabila Peacaiswaran tiba tiba tergelincir dan jatuh ke dalam kolam air terjun.

"Nagulan dan Ganesan cuba untuk menyelamatkannya, namun gagal untuk timbul semula dan dipercayai turut lemas di dalam kolam air terjun," katanya.

Bak Phai berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X