Jumaat, 16 Februari 2018 | 12:44pm
Gambar kenangan Nur Farhana ketika bercuti bersama arwah suaminya serta dua orang anaknya.

Pilu lihat Adif, Iman menangis cari ibu

BATU PAHAT: "Saya tak sanggup lihat dua anak saudara saya menangis cari ibu dan ayah yang sudah tiada, mereka masih kecil dan tidak faham apa-apa lagi," kata adik bongsu Allahyarham Nur Farhana A Razak.

Farid A Razak, 26, berkata dua anak saudaranya, Muhammad Hadif Zafri Mohamad Hashim, 3, yang dipanggil Adif dan Muhammad Hafiy Iman Mohamad Hashim, 11 bulan, yang dipanggil Iman itu amat rapat dan manja dengan ibu dan ayah mereka.

Katanya, keluarganya juga seakan kelu dan tidak tahu apa yang harus dikatakan pada kedua-duanya yang sepanjang masa menangis bertanyakan di mana ibu dah ayah mereka.

"Adif dan Iman masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sejak semalam dan mereka masih trauma dengan kemalangan yang meragut nyawa ibu dan ayah mereka, walaupun masih tidak memahami apa yang berlaku.

"Ibu saudara saya yang menjaga mereka di wad, sebak dan luluh melihat keduanya menangis sepanjang masa dan hanya mampu memujuk mereka. Adif hanya akan berhenti menangis apabila tertidur akibat kepenatan.


Kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM4.5 Jalan Bindu Dalam, dekat Batu Pahat, semalam menyebabkan Nur Farhana (gambar kecil) dan suaminya, Mohamad Hashim Marhaban meninggal dunia 5 jam kemudian. - Foto BERNAMAEHSAN PDRM

"Lebih pilu apabila saya menatap video terakhir dikirim arwah Kak Long yang teruja berkongsi Iman yang baru boleh berjalan minggu lalu," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Bindu, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, Nur Farhana, 29, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Mohamad Hashim Marhaban, 31, meninggal lima jam kemudian di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI, selepas kereta Perodua MyVi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, kira-kira satu kilometer dari kediaman keluarga itu dekat Jalan Bindu.

Kedua-duanya dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bindu kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Ibu Nur Farhana, Hazah Abd Kadir, 60, serta Adif dan Iman, yang cedera kini masih dirawat di HSNI.

Sementara itu, Farid berkata, beliau berharap kematian kakak kesayangan serta abang iparnya itu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Diikutkan hati memang kami marah dan ralat dengan kejadian ini, namun ibu menasihatkan kami supaya bersabar dan reda dengan ujian Allah ini serta menerima takdir dengan tenang.

"Kami hanya mahu menjaga amanah Kak Long, Adif dan Iman dengan sebaiknya selepas ini dan memastikan kehidupan mereka terbela malah semua ahli keluarga bersetuju menjaga mereka bersama-sama, namun kami menunggu ibu sembuh dahulu bagi berbincang dengan keluarga arwah abang ipar, " katanya.

Farid berkata, kakaknya teruja pulang ke kampung kali ini berikutan sedang membuat persiapan untuk hari sukan Sekolah Kebangsaan Pasir Besar (FELDA), Gemas, Negeri Sembilan, yang dijadualkan minggu hadapan.

"Saya membantu kakak menyiapkan maskot rumah merah yang bertema futuristik kerana Kak Long memang amat berminat melakukan persiapan sebegini setiap tahun, namun hajatnya tidak kesampaian kali ini," katanya.

62 dibaca
Berita Harian X