Isnin, 12 Februari 2018 | 4:53pm
MUHAMMAD Suffian Yahya. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Adam Pengarah Urusan, tapi tak terima gaji - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen, hari ini, diberitahu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah langsung tidak dibayar gaji ketika memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan syarikat jual beli kereta, Gegas Mentari Sdn Bhd.

Pengarah Gegas Mentari, Muhammad Suffian Yahya, 30, yang memberikan keterangan selaku saksi kelapan pendakwaan, berkata beliau yang bertindak selaku proksi kepada bapa saudaranya, juga tidak menerima gaji daripada syarikat itu.

Muhammad Suffian yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaan utama, berkata syarikat itu ditubuhkan atas arahan bapa saudaranya pada 13 Mac 2015, dengan dirinya dinamakan sebagai Pengarah bersama Adam Rosly kerana bapa saudaranya diisytiharkan muflis.

Menjawab soalan Akram berhubung tujuan penubuhan Gegas Mentari, Muhammad Suffian berkata, beliau tidak pasti kerana syarikat ditubuhkan atas arahan bapa saudaranya dan ia adalah di antara bapa saudaranya dan Adam Rosly

Saksi itu berkata, Adam bagaimanapun dikeluarkan daripada menerajui syarikat pada 19 Disember 2016 dan digantikan dengan seorang Pengarah baharu.

Muhammad Suffian memberikan keterangan terhadap Adam Rosly yang didawa atas dua pertuduhan memberi pernyataan palsu dan empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM, Februari tahun lalu.

Keenam-enam pertuduhan itu didakwa dilakukan di Ibu pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, pada jam 9 pagi dan 12.15 tengah hari, 10 Februari 2017 serta jam 9 pagi dan 2 petang, pada 22 Februari tahun sama.

Pertuduhan memberi pernyataan palsu adalah mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pertuduhan bagi mengemukakan dokumen palsu pula adalah mengikut Seksyen 89 akta sama yang masing-masing membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam bela Datuk Sulaiman Ismail yang mewakili Adam Rosly pada sesi pemeriksaan balas, Muhammad Suffian bersetuju beliau adalah seorang proksi ketika syarikat itu ditubuhkan.

Saksi itu berkata, beliau tidak mengetahui urusan perjalanan syarikat dan tidak pernah hadir di pejabat, manakala semua urusan syarikat diuruskan Adam dengan pengetahuannya (saksi).

Peguam bela Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang turut mewakili Adam Rosly sementara itu, mencadangkan kepada saksi bahawa Adam Rosly dikeluarkan daripada syarikat tanpa pengetahuannya, yang dijawab Muhammad Suffian; "Saya tidak setuju, dia (Adam) sudah diberitahu mengenainya."

Apabila diminta oleh peguam untuk membuktikan kenyataan itu (bahawa Adam Rosly sudah diberitahu beliau dikeluarkan daripada syarikat), Muhammad Suffian menjawab; "Ia di antara bapa saudara saya dan Adam."

Perbicaraan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail bersambung 20 Februari ini.

40 dibaca
Berita Harian X