Jumaat, 9 Februari 2018 | 9:42pm

Wanita mati dikelar, suami ditahan bantu siasatan

SERIAN: Seorang wanita ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya di sebuah rumah di Kampung Bedup Longgok, di sini, tengah hari tadi.

Mayat mangsa ditemui suaminya yang berusia 35 tahun sekembalinya dia mengambil anak mereka yang berusia lapan tahun dari sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, lelaki terbabit datang ke Balai Polis Serian pada jam 1.30 tengah hari memaklumkan dia menemui isterinya dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka.

Beliau berkata, siasatan polis di tempat kejadian mendapati mangsa yang juga seorang suri rumah warga Indonesia berusia 36 tahun mati akibat dikelar di leher.

"Polis menahan suami mangsa bagi membantu siasatan kes itu.

"Siasatan terperinci masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti pembunuh dan motif pembunuhan," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Berita Harian X