Rabu, 7 Februari 2018 | 1:43pm
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia, DCP Datuk Kang Chez Chiang (tiga kiri) menunjukkan dadah dan peralatan memproses dadah pada sidang media di Ibu Polis Daerah Gombak. -Foto Aswadi Alias

Polis tumpas sindiket dadah RM4.5 juta seludup ke Acheh

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket dipercayai menghasilkan dadah sebelum menyeludupnya ke Acheh, Indonesia, selepas menahan tujuh individu, selain turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM4.5 juta dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang, Isnin lalu.

Difahamkan, sindiket berkenaan menggunakan jalan udara untuk membawa keluar dadah melalui lapangan terbang.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang, berkata tujuh suspek berusia 29 hingga 52 tahun itu ditahan di lima lokasi di Rawang dan Gombak di Selangor serta di ibu negara.

Beliau berkata, semua suspek membabitkan lima lelaki dan dua wanita ditahan dari jam 7.30 malam hingga 10.15 malam Isnin lalu oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Katanya, dadah yang dirampas adalah 28.1 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 1.6 kg syabu dan 6,690 pil yaba.

"Menerusi serbuan pertama di Jalan Loke Yew, di sini, kami menahan seorang lelaki yang membantu membawa kami ke sebuah kondominium di Templer Park, Rawang yang dijadikan makmal mini dadah.

"Kami menemui pelbagai jenis dadah dan peralatan digunakan untuk memproses bahan terlarang itu di kediaman berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Chez Chiang berkata, pihaknya kemudian menahan dalang sindiket bersama teman wanitanya warga Vietnam di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Gombak.

"Seorang lelaki ditahan di Taman Setia Jaya, Rawang dan tiga lagi termasuk seorang wanita ditahan di Jalan Loke Yew, di sini.

"Dengan penahanan itu, kami berjaya menumpaskan sindiket yang menghasilkan dan menyeludup ekstasi untuk pasaran tempatan dan Indonesia.

"Bahan itu bernilai tiga kali lebih tinggi iaitu kira-kira RM13.5 juta di Aceh," katanya.

Chez Chiang berkata, sindiket berkenaan dipercayai memperoleh bekalan dari luar negara dan aktif melakukan kegiatan itu lebih enam bulan lalu.

Beliau berkata, turut dirampas wang tunai bernilai RM147,000, tiga kereta, jam tangan, pelbagai barang kemas dan mata wang Vietnam bernilai RM140.

Katanya, siasatan kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

26 dibaca
Berita Harian X