Rabu, 7 Februari 2018 | 1:05pm
SUPERINTENDAN, Suffian Sulaiman.- Foto Aswadi Alias

Tiga dikenal pasti sekolah 'hotspot'

KUALA TERENGGANU: Tiga sekolah di daerah ini dikenal pasti sebagai 'hotspot' yang mempunyai masalah berkaitan disiplin, terutama membabitkan kes buli dan gaduh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Suffian Sulaiman, berkata sepanjang tahun lalu, polis menerima lima laporan membabitkan masalah gaduh dan buli sehingga mengakibatkan kecederaan serius di lima sekolah, termasuk sekolah hotspot berkenaan.

"Empat daripada lima kes berkenaan masih dalam siasatan, manakala satu kes sudahpun dituduh di mahkamah membabitkan jumlah keseluruhan 32 pelajar," katanya kepada media selepas pelancaran Program Remaja Berwawasan di sini, hari ini.

Suffian berkata, meskipun sekolah tidak dapat lari daripada masalah gaduh dan buli, ia tidak boleh dianggap senario biasa kerana gejala itu ada had tertentu serta boleh mengakibatkan kecederaan.

"Lazimnya apabila berlaku kes gaduh, polis terlebih dahulu akan berjumpa dengan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar terbabit serta ibu bapa mereka.

"Kita tidak akan terus membuat laporan, sebaliknya akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan secara murni.

"Jika laporan terus dibuat, kami yakin masalah itu tidak akan terus selesai, sebaliknya menimbulkan dendam dalam kalangan mereka yang terbabit," katanya.

Bagi mengekang masalah itu daripada berterusan, beliau berkata, polis dengan kerjasama Kementerian Pendidikan mengadakan pelbagai program khusus membabitkan pelajar yang bermasalah disiplin.

"Antara yang terbaru kita perkenalkan tahun ini ialah Program Remaja Berwawasan membabitkan 10 sekolah di seluruh negeri.

"Pelajar bermasalah prestasi pembelajaran, sikap dan disiplin akan dipilih menyertai program ini yang akan berterusan hingga Oktober depan," katanya.

Suffian berkata, pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysa (ATM) ditugaskan melatih pelajar berkaitan ketahanan mental, kerohanian serta fizikal sepanjang mengikuti program berkenaan.

"Kayu ukur kejayaan program ini ialah perkembangan prestasi pelajar bukan sahaja dari segi pencapaian akademik mereka, malah perubahan sikap dan disiplin lebih baik," katanya.

74 dibaca
Berita Harian X