Selasa, 6 Februari 2018 | 11:53pm

Maut dihempap tangki air

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki warga emas maut dihempap tangki air dalam sebuah stor di depan rumahnya di Kampung Selamat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.52 petang itu, mangsa yang juga pemilik stor berkenaan sedang mengalihkan tangki air itu menggunakan forklift untuk dimasukkan ke dalam sebuah kontena.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata tangki air itu tiba-tiba terjatuh lalu menghempap bahagian kiri kepala mangsa.

"Akibatnya, mangsa yang berusia 68 tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan.

"Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

"Anak mangsa yang menyedari kejadian yang menimpa bapanya kemudian menghubungi polis dan bomba untuk tindakan lanjut," katanya sambil menambah kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

12 dibaca
Berita Harian X