Selasa, 6 Februari 2018 | 12:06pm
OPERASI mencari dua warga Singapura termasuk seorang wanita dipercayai sesat di Hutan Gunung Pulai diteruskan pasukan Bomba dan Penyelamat serta Polis selepas menerima laporan mengenai kehilangan dua warga singapura di hutan Gunung Pulai, Kulai. - Foto ihsan bomba

Operasi cari 2 warga Singapura sesat diteruskan

KULAI: Seramai 25 anggota polis, Bomba dan Jabatan Perhutanan terbabit dalam operasi mencari dua warga Singapura yang dipercayai sesat di Hutan Gunung Pulai, dekat sini sejak petang semalam.

Kehilangan lelaki berusia 30-an dan wanita berusia 20-an itu disedari selepas lelaki terbabit menghubungi talian kecemasan 999 kira-kira jam 6 petang semalam.

Komander Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin, berkata sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan mengenai kehilangan mangsa.

"Usaha mencari mangsa hilang bermula semalam dan pencarian pada hari kedua diteruskan lagi hari ini.

"Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan selepas laporan kehilangan mereka dipercayai sesat diterima sebelum gerakan awal turut dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Berita Harian X