Isnin, 5 Februari 2018 | 5:21pm

Bunuh kekasih, bawa ke balai polis

PETALING JAYA: Seorang lelaki menggemparkan Balai Polis Damansara di sini apabila memandu masuk ke situ membawa mayat kekasihnya yang didakwa dibunuhnya beberapa jam sebelum itu.

Lelaki berusia 37 tahun itu memandu masuk kereta Honda City berwarna putih ke balai polis berkenaan kira-kira jam 4 petang dengan membawa mayat teman wanitanya yang berusia 35 tahun di tempat duduk belakang.

Selepas memasuki balai, lelaki terbabit memaklumkan dia membawa teman wanita yang dibunuhnya di Kota Damansara dan datang ke balai untuk menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata suspek dipercayai membunuh kekasihnya kira-kira pada jam 1.30 tengah hari.

"Hasil soal siasat, suspek memberitahu dia membunuh mangsa di dalam kereta ketika berada di kawasan pusat beli belah di Kota Damansara.

"Suspek kemudian menyerahkan dirinya kepada polis di Balai Polis Damansara pada jam 4 petang, pemeriksaan kemudian menemui mayat mangsa di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

"Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa pula menemui kesan tikaman di bahagian leher dipercayai akibat ditikam oleh benda tajam yang ditemui di dalam kereta suspek," katanya dalam sidang media di Balai Polis Damansara, hari ini.

Zani berkata, kes pembunuhan terbabit dipercayai bermotifkan perasaan cemburu.

"Suspek dan mangsa bekerja dengan pihak pengurusan sebuah kondominium di Kota Damansara.

Mayat dihantar ke Hospital Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan mengemukakan permohonan reman esok," katanya.

PEGAWAI penyiasat dan perubatan di lokasi suspek membawa mayat teman wanitanya dalam Honda City yang dipandu ke Balai Polis Damansara.
Berita Harian X