Ahad, 4 Februari 2018 | 10:27pm
Komander Operasi BBP Alor Setar, PBK II Zulkiflee Mat Isa (kiri) mengambil keterangan daripada Mohd Faizal Jamaluddin (tengah) dan abang iparnya, Mohd Shazwi Ishak, 28, yang ditemui selamat selepas sesat di Bukit Panchor, petang tadi. - Foto Zuliaty Zulkifli

'Pusing kiri, pusing kanan jalannya sama'

ALOR SETAR: "Kami cuba cari jalan keluar sebaik menyedari kami tersesat sebab pusing kiri kanan pun semua jalan sama."

Mohd Faizal Jamaluddin, 33 dan abang iparnya, Mohd Shazwi Ishak, 28, hanya menjerit meminta tolong dalam keadaan lapar dan dahaga sepanjang sembilan jam sesat di hutan, pagi tadi.

Mohd Faizal dan abang iparnya, dikatakan pergi ke kawasan hutan di Bukit Panchor, Jalan Panchor Pokok Sena itu untuk melihat tanah bapanya di situ sebelum tersesat.

Katanya, mereka mula mendaki bukit itu pada jam 8 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 10 pagi selepas dua jam berjalan kaki.

"Disebabkan baru pertama kali naik ke bukit itu, kami tidak tahu selok-belok kawasan berkenaan sehingga gagal mencari jalan keluar. Kami buntu dan terus menjerit meminta tolong.

"Tak sangka jeritan kami akhirnya didengari pencari lebah yang kebetulan berada tidak jauh dari kawasan itu," katanya ketika ditemui di kaki bukit itu, petang tadi.

Mohd Faizal cedera di kaki akibat digigit pacat sepanjang mencari jalan keluar dalam hutan, manakala abang iparnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mereka diberi rawatan oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar sebelum pulang ke rumah di Kampung Bukit Naka.

Sementara itu, pencari lebah, Mohd Razif Hasrin, 27, berkata beliau bersama dua rakan sedang mencari lebah tidak jauh dari tempat mangsa tersesat apabila mendengar jeritan orang meminta tolong.

"Bunyi jeritan itu agak sayup tetapi kami membalas jeritan mereka sebelum menghampiri mereka berdasarkan suara jeritan itu untuk memberi bantuan.

"Kami menemui mereka dalam keletihan dan tidak bermaya lalu membawa mereka turun untuk kira-kira pada jam 6 petang," katanya.

Bapa Mohd Faizal, Jamaluddin Ismail, 57, berkata beliau menerima panggilan daripada anak sulungnya, Mohd Faizal, memaklumkan dia tersesat bersama abang iparnya pada jam 3 petang sebelum panggilan itu terputus.

Beliau terus pergi ke kaki bukit itu untuk mencari mereka tetapi gagal dan kemudian dimaklumkan kedua-dua mereka ditemui pencari lebah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Zulkiflee Mat Isa, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.23 petang dan tiba di lokasi pada jam 5.37 petang.

Beliau berkata, operasi disertai sembilan anggota, termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) berserta unit RIM dan sebuah jentera. Operasi turut dibantu penduduk kampung.

52 dibaca
Berita Harian X