Ahad, 4 Februari 2018 | 7:13pm

PERHILITAN beri kerjasama siasat insiden tembakan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung kes tembakan membabitkan anggotanya, kelmarin.

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata satu laporan polis sudah dibuat oleh anggota terbabit di Balai Polis Pasir Akar, Besut.

"Ketika kejadian pada kira-kira jam 10 malam, dua anggota Perhilitan Besut sedang menjalankan tugas rondaan di Ladang Sawit FELCRA Bukit Marak.

"Mereka bertindak atas aduan yang mengatakan ada konflik hidupan liar dan ditemani oleh seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai jurupandu menunjukkan lokasi aduan.

"Dalam operasi berkenaan, satu tembakan dilepaskan ke arah babi hutan yang ditemui dan ketika hendak melakukan tembakan susulan, anggota PERHILITAN terbabit tergelincir dan jatuh lalu tertembak jurupandu terbabit.

"Insiden ini berlaku atas kenderaan jenis Toyota Hilux milik PERHILITAN," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam BH Online melaporkan seorang lelaki cedera di pinggang dan lengan kiri akibat terkena tembakan senapang patah dilepaskan rakannya ketika operasi memburu babi hutan di sebuah kebun kelapa sawit di Kg Padang Buloh, Pasir Akar, Jerteh, Besut.

Mangsa, Mohd Saiful Bahri Sulaiman, 29, keluar sebagai pemandu arah bersama dua pegawai PERHILITAN Besut ke lokasi kira-kira jam 12.30 tengah malam untuk memburu babi hutan selepas menerima aduan daripada orang kampung.

Kira-kira jam 4.35 pagi, mangsa bersama seorang anggota PERHILITAN menunggu di kabin belakang kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sebelum terlihat babi hutan melintas di hadapan kenderaan.

Pegawai PERHILITAN terbabit kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah babi hutan, namun binatang liar terbabit tidak mati.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata Pegawai PERHILITAN terbabit dikatakan cuba mengubah kedudukan bagi melepaskan tembakan seterusnya, namun dia tergelincir dan terjatuh di dalam kabin terbabit.

"Ia menyebabkan senapang yang dipegangnya tertembak mangsa. Tembakan itu menyebabkan mangsa cedera dan dikejarkan ke Hospital Jertih oleh dua pegawai PERHILITAN berkenaan," katanya.

Berita Harian X