Sabtu, 3 Februari 2018 | 9:39pm

Nenek membongkok selamatkan diri

KUDAT: Seorang warga tua bernasib baik sempat menyelamatkan diri meskipun dalam keadaan badan membongkok apabila rumah pusakanya di Marang Parang, Kudat, di sini, terbakar petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang, Luna Tebukon, 90, yang tinggal seorang diri hanya menyedari kejadian itu selepas melihat kepulan asap dari arah dapur ketika sedang berehat di ruang tamu.

Cucu mangsa, Junita Ridis, 22, berkata rumah jenis tidak kekal berusia hampir 30 tahun itu terbakar sepenuhnya dan perabot serta dokumen penting turut musnah.

"Dalam keadaan kelam kabut, nenek hanya berfikir mahu menyelamatkan diri dan berjalan dalam keadaan membongkok melalui pintu rumah, " katanya dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, ketika kejadian, semua ahli keluarga yang tinggal berhampiran tiada di rumah kerana bekerja.

"Buat masa ini, nenek tinggal di rumah seorang anaknya yang juga tinggal di kampung sama," katanya.

Ketua Bomba dan Balai Penyelamat (BBP) Daerah Kudat, Ishak Jabas, berkata tujuh anggota beserta sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.58 petang.

"Tiada kecederaan dilaporkan kerana penghuni sempat menyelamatkan diri. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Berita Harian X