Sabtu, 3 Februari 2018 | 9:23pm
MOHD Saiful Bahri Sulaiman, 29, cedera di pinggang dan lengan kiri terkena tembakan senapang patah rakannya ketika hendak memburu babi hutan dirawat di HUSM, Kubang Kerian, Kelantan. - Foto Ihsan PDRM
BABI hutan yang ditembak. - Foto Ihsan PDRM

Tertembak rakan ketika buru babi hutan

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki cedera di pinggang dan lengan kiri terkena tembakan senapang patah dilepaskan rakannya ketika operasi memburu babi hutan di sebuah kebun kelapa sawit di Kg Padang Buloh, Pasir Akar, Jerteh, Besut, pagi tadi.

Mangsa, Mohd Saiful Bahri Sulaiman, 29, keluar sebagai pemandu arah bersama dua pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Besut ke lokasi kira-kira jam 12.30 tengah malam untuk memburu babi hutan selepas menerima aduan daripada orang kampung.

Kira-kira jam 4.35 pagi, mangsa bersama seorang anggota PERHILITAN menunggu di kabin belakang kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sebelum terlihat babi hutan melintas di hadapan kenderaan.

Pegawai PERHILITAN terbabit kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah babi hutan, namun binatang liar terbabit tidak mati.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata Pegawai PERHILITAN terbabit dikatakan cuba mengubah kedudukan bagi melepaskan tembakan seterusnya, namun dia tergelincir dan terjatuh di dalam kabin terbabit.

"Ia menyebabkan senapang yang dipegangnya tertembak mangsa. Tembakan itu menyebabkan mangsa cedera dan dikejarkan ke Hospital Jertih oleh dua pegawai PERHILITAN berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zamri berkata, mangsa dilaporkan mengalami luka tembakan peluru penabur di bahagian pinggang sebelah kiri dan juga di lengan sebelah kiri.

"Berdasarkan kecederaan yang dialami, mangsa terkena tembakan dengan jarak dekat lebih kurang dua kaki (0.6 meter). Mangsa dilaporkan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut memandangkan masih terdapat peluru penabur dalam badan mangsa," katanya.

Katanya, kedua-dua pegawai terbabit yang juga Pembantu Hidupan Liar berusia 28 tahun dan 32 tahun akan ditahan bagi membantu siasatan, selain senapang yang digunakan ketika kejadian dirampas.

Mohd Zamri berkata, hasil temu bual dengan Ketua PERHILITAN, mengesahkan dua pegawai terbabit ada memaklumkan kepadanya mengenai operasi memburu babi hutan itu.

"Selain itu, beliau turut memberitahu tugasan rondaan serta memburu adalah rutin bagi pegawai PERHILITAN jika menerima aduan daripada orang kampung. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960," katanya.

116 dibaca
Berita Harian X