Jumaat, 2 Februari 2018 | 4:03pm
MOHAMMED Zohaib Khan bebas daripada tuduhan mengedarkan dadah jenis kanabis seberat 3,956 tahun dua lalu di bawa di Mahkamah Tinggi Shah Alam.- Foto Roslin Tahir

Warga Pakistan terlepas hukuman gantung

SHAH ALAM: Seorang warga Pakistan sempat melemparkan senyuman ke arah sekumpulan wartawan yang membuat liputan sebaik saja dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, daripada pertuduhan mengedar dadah.

Demikian reaksi tertuduh yang juga warga Pakistan, Mohamad Zohaib Khan, 27, selepas mendengar keputusan yang dibacakan Hakim S M Komathy Suppiah.

Penuntut universiti swasta itu sebelum ini menghadapi pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 3,956 gram, dua tahun lalu.

Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zohaib yang memakai baju bercorak hitam dan putih itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 3,956 gram di Jalan SS14/8E SS14 Subang Jaya, kira-kira jam 3 petang pada 4 Ogos 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan Lam Kah Kah.

Seramai empat saksi pendakwaan dikemukakan pada perbicaraan yang bermula pada 22 hingga 23 Januari lalu.

Difahamkan, tertuduh akan diusir pulang ke negara asalnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam masa terdekat.

Berita Harian X