Khamis, 1 Februari 2018 | 8:35pm
DATUK Ngeh Koo Ham. - Foto Abdullah Yusof

Koo Ham dipanggil kes maklumat sulit bocor

IPOH: Polis memanggil Penasihat DAP Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham, memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kebocoran maklumat sulit kerajaan negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata Koo Ham dipanggil untuk membantu siasatan polis dalam kes membabitkan kebocoran maklumat fail kerajaan negeri yang dikategorikan sulit.

Beliau berkata, polis menyemak sama ada kes berkenaan mempunyai keterangan mencukupi atau tidak untuk disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.

"Siasatan kes ini tertumpu kepada isu jenayah lain seperti dilaporkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

"Semua saksi kes ini sudah dirakam percakapan dan telah memberi kerjasama sepenuhnya," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Pagi tadi, Koo Ham pada sidang medianya di Ibu Pejabat DAP Perak mendakwa polis melanggar undang-undang kerana mencampuri urusannya sebagai wakil rakyat apabila mendakwa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memiliki sebuah kereta mewah.

Koo Ham mendakwa Zambry menerima bonus RM115,000 daripada PKNP dan pembelian kereta Audi Q7 pada harga RM620,996 untuknya.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu pernah disebut pada sidang media Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu dan berikutan dakwaan itu, beliau dan beberapa wakil rakyat seperti ADUN Tronoh, Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam, dipanggil polis untuk siasatan.

Koo Ham mendakwa, lapan kakitangan PKNP turut dipanggil untuk dirakam percakapan.

Hasnan berkata, siasatan hampir selesai dan surah dihantar kepada Koo Ham pada 26 Januari lalu bagi memintanya memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Polis.

"Jika tidak mendapat kerjasama, polis akan menggunakan peruntukan Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) sebagai arahan beliau membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X