Khamis, 1 Februari 2018 | 12:29pm

Pemangku Timbalan Pengarah JKNS ditahan semula

KOTA KINABALU: Pemangku Timbalan Pengarah bersama seorang jurutera Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) ditahan semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan jabatan berkenaan.

Sumber memberitahu BH, kedua-dua suspek berusia 58 tahun dan 39 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Sabah, di antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang bagi membantu siasatan berhubung satu laporan baharu berkaitan projek JKNS bernilai RM56 juta dengan beberapa syarikat, antara tempoh lima tahun lalu.

"Laporan baharu itu diterima ketika kedua-dua suspek masih dalam reman sebelum ini," katanya, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, permohonan reman baharu oleh SPRM terhadap kedua-dua suspek ditolak Majistret Stephanie Sherron Abbie ketika prosiding dalam kamar, di sini, sebentar tadi.

Permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin, manakala suspek masing-masing diwakili peguam Sugumar Balakrishnan dan Edward Paul.

Kedua-dua suspek bersama seorang lagi jurutera JKNS yang dibebaskan semalam, sebelum ini direman berhubung siasatan projek penyelengaraan dan kecemasan kepada 27 syarikat sejak tahun 2011, yang sebenarnya dipercayai hanya dilaksanakan oleh satu kontraktor.

Difahamkan ketiga-tiga pegawai JKNS terbabit menerima suapan berjumlah lebih RM3 juta.

Semalam, Pemangku Timbalan Pengarah dan dua jurutera JKNS serta seorang lagi kontraktor berusia 42 tahun yang ditahan berhubung kes itu sejak minggu lalu, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret.

Sementara itu, di mahkamah sama, Stephanie membenarkan tempoh reman kontraktor berusia 60 tahun yang direman sejak Ahad lalu, disambung dua hari lagi berkuat kuasa esok.

Sehingga kini, SPRM menahan tujuh individu untuk membantu siasatan berkaitan kes berkenaan, termasuk dua Penolong Jurutera JKNS berusia 36 tahun dan 38 tahun, yang masih dalam tahanan reman sehingga Ahad ini.

148 dibaca
ANGGOTA SPRM membawa dua individu ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu berhubung siasatan pemberian rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan projek-projek Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS). - Foto MAlai Rosmah Tuah
ANGGOTA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa seorang kontraktor berusia 60 tahun ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu berhubung siasatan pemberian rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan projek-projek Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS). - Foto MAlai Rosmah Tuah
Berita Harian X