Rabu, 31 Januari 2018 | 5:08pm
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Penawar cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan di Hentian Bandar Penawar, Kota Tinggi. - Foto Ihsan Bomba Johor

Kereta terbabas, 2 lelaki maut

KOTA TINGGI: Dua lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas, dalam kejadian berhampiran di Kilometer 30, Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, berhampiran Hentian Bandar Penawar, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah, berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta Nissan Latio itu hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas menyebabkan kereta itu remuk teruk.

Katanya, setakat ini penumpang kereta terbabit dikenali sebagai P Yoagentran, 24, beralamat di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, manakala identiti pemandu belum dikenal pasti berikutan polis tidak menemui sebarang pengenalan diri mangsa.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Sailani Oda, berkata kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.55 tengah hari tadi sebelum dua jentera bomba dengan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penawar tiba ke tempat kejadian.

"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk kereta terbabit.

"Sehingga kini, tiada maklumat lanjut mengenai pergerakan mula dan destinasi akhir mereka (kedua-dua mangsa). Mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

14 dibaca
Berita Harian X