Rabu, 31 Januari 2018 | 11:24am

Kes JKNS: 4 dibebaskan, 2 suspek baharu direman

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini membebaskan tiga jurutera Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dan seorang kontraktor yang ditahan berhubung kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa di jabatan berkenaan.

Mereka ialah Ketua Jurutera JKNS berusia 58 tahun yang juga Pemangku Timbalan Pengarah dan dua jurutera jabatan itu, masing-masing berusia 39 dan 37 tahun serta seorang kontraktor berumur 42 tahun.

Semua suspek sebelum ini direman tujuh hari bermula pada Isnin lalu sebelum disambung tiga hari lagi pada Ahad lalu dan berakhir hari ini.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus membenarkan semua suspek dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Cindy menetapkan jaminan masing-masing RM100,000 tanpa deposit kepada Ketua Jurutera JKNS dan seorang lagi jurutera jabatan itu, manakala seorang lagi jurutera dikenakan jaminan RM50,000 tanpa deposit.

Seorang lagi, iaitu kontraktor berumur 42 tahun dikenakan jaminan RM100,000 dengan RM20,000 deposit.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan projek penyelenggaraan JKNS antara tahun 2012 hingga tahun lalu.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua Penolong Jurutera JKNS berumur 36 tahun dan 38 tahun ditahan reman lima hari hingga Ahad ini.

Difahamkan, kedua-dua suspek ditangkap di pejabat JKNS, petang semalam sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM Sabah dan ditahan pada kira-kira jam 9 malam tadi.

Permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin.

Penahanan baharu itu menjadikan tujuh individu ditahan SPRM berhubung siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa JKNS setakat ini termasuk seorang lagi kontraktor berumur 60 tahun yang direman lima hari sejak Ahad lalu dan dijangka disambung reman, esok.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

PEGAWAI SPRM bawa enam individu ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu berhubung siasatan pemberian rasuah melibatkan projek-projek JKNS. - Foto Khairull Azry Bidin
Berita Harian X