Selasa, 30 Januari 2018 | 11:08am
PENGARAH JPS Perlis (baju putih) diiringgi anggota SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Alor Setar pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman susulan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan kos hampir RM4 juta. - Foto Petah Wazzan
DUA kontraktor berusia 39 dan 50 tahun bersama Pengarah JPS Perlis dibawa anggota SPRM ke Mahkamah Alor Setar pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman susulan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan kos hampir RM4 juta.- Foto Petah Wazzan

Pengarah JPS Perlis, 2 kontraktor direman seminggu

ALOR SETAR: Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis bersama dua pengarah syarikat direman tujuh hari bermula hari ini, untuk siasatan lanjut selepas disyaki terbabit rasuah dan salah guna kuasa membabitkan hasil suapan hampir RM4 juta.

Perintah tahanan reman sehingga 5 Februari ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim.

Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan terhadap penjawat awam berusia 60 tahun itu bersama dua pemilik syarikat masing-masing berusia 50 dan 39 tahun, mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Pengarah JPS terbabit yang berpakaian putih tiba jam 9.20 pagi, manakala dua kontraktor itu tiba 30 minit kemudian dalam kereta berasingan.


DUA kontraktor berusia 39 dan 50 tahun bersama Pengarah JPS Perlis dibawa anggota SPRM ke Mahkamah Alor Setar pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman susulan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan kos hampir RM4 juta.- Foto Petah Wazzan

BH semalam melaporkan tiga individu termasuk Pengarah JPS Perlis ditahan kerana dipercayai terbabit rasuah dan salah guna kuasa, dalam satu operasi dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam operasi itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah hampir RM900,000 dan menyita empat akaun bank yang mempunyai wang berjumlah RM2.9 juta.

Sumber kata, pengarah itu disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10 peratus bagi setiap projek dianugerahkan oleh JPS Perlis kepada kontraktor dilantik sejak tahun 2014 hingga 2017.

Suspek juga didapati menjalani kehidupan mewah hasil wang rasuah yang diterima daripada kontraktor sejak 2014.

62 dibaca
Berita Harian X