Isnin, 29 Januari 2018 | 2:46pm
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan di Kilometer (KM) 95.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, dekat Temerloh, awal pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba.

Pemandu, kelindan maut langgar belakang lori

TEMERLOH: Seorang pemandu lori membawa makanan segera bersama kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori lain di Kilometer (KM) 95.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi, pemandu lori, Abdul Rahman Mohammad, 30, berasal dari Sungai Isap Damai, Kuantan, dan kelindannya, Zulfirdaus Othman, 27, dari Kampung Selamat, Kuantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood, berkata kejadian berlaku ketika lori dipandu Abdul Rahman yang membawa muatan makanan segera dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dikatakan dipandu laju dan tiba-tiba melanggar belakang sebuah lagi lori lain yang dipandu Asmar Rani Omar, 47," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan Abdul Rahman dan Zulfirdaus meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Bagaimanapun Asmar Rani dari FELDA Kota Gelanggi, Jerantut, tidak mengalami sebarang kecederaan. Kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X