Ahad, 28 Januari 2018 | 10:06pm
BOMBA membantu menyelamatkan pemandu jentolak yang tertimbus dalam tanah selepas kenderaan dikendalinya terjatuh ke dalam gaung di hutan berdekatan Jalan Bukit Mantin, Seremban, petang tadi. - Foto ihsan bomba

Tertimbus hingga paras pinggang

SEREMBAN: Seorang pemandu jentolak warga Indonesia menahan kesakitan lebih sejam apabila tertimbus dalam tanah selepas kenderaan dikendalinya terjatuh ke gaung di hutan berhampiran Jalan Bukit Mantin, di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia 30-an dipercayai sedang menjalankan aktiviti mengorek pasir di kawasan terbabit.

Jentolak itu kemudian terjatuh ke dalam gaung sedalam enam meter.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, N Sundram, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang dan bergegas ke lokasi bersama satu jentera serta tujuh anggota.

Katanya, tempat kejadian adalah di dalam hutan yang terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama, menyebabkan usaha menyelamat berdepan kesukaran kerana laluan masuk sempit dan tidak rata.

"Bomba terpaksa meminta bantuan pacuan empat roda daripada syarikat pasir terbabit untuk membawa anggota berserta peralatan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati mangsa tertimbus di dalam tanah sehingga paras pinggang.

"Kami meminta sebuah lagi mesin berantai yang ada di lokasi untuk menahan jentolak terbabit. Mangsa diselamatkan 30 minit kemudian," katanya.

Sundram berkata, mangsa yang cedera parah di kepala dan badan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X