Ahad, 28 Januari 2018 | 4:43pm
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Hairul Anuar Rahim

Jangan menangguk di air keruh: Polis

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran supaya pihak tertentu tidak 'menangguk di air keruh' dengan membuat kenyataan menghasut dalam isu ia mengambil keterangan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata tindakan polis itu adalah sebahagian daripada proses siasatan tanpa membabitkan sebarang bentuk tekanan mana-mana pihak.

"Tun Dr Siti Hasmah bukan disoal siasat tetapi hanya diambil keterangannya secara profesional dan menghormati kedudukan serta status beliau di negara ini.

"Beliau (Siti Hasmah) sendiri telah membuat kenyataan umum bahawa beliau tidak berhadapan dengan sebarang intimidasi sepanjang kenyataannya dirakam," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Bukit Aman, hari ini.

Katanya lagi, PDRM memandang serius kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan oleh pihak yang cuba menangguk di air keruh.

 "Ini kerana Tun Dr Siti Hasmah bersedia memberi kerjasama untuk melengkapkan siasatan pihak polis," tegas beliau.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, menjelaskan kehadiran pegawai polis ke Yayasan Al Bukhary di sini untuk merakam keterangan Siti Hasmah adalah bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan.

"Beliau terbabit dalam satu perhimpunan yang dianjurkan tanpa notis di hadapan Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman pada 10 September, tahun lalu.

Pada 10 September lalu, sekumpulan aktivis wanita menganjurkan perhimpunan dikenali sebagai 'Wanita Bantah Politik Toksik' di ibu kota.

Dr Siti Hasmah dilaporkan memberi ucapan ringkas, yang menggesa wanita memainkan peranan mereka menghentikan politik toksik di negara ini yang mereka dakwa semakin berleluasa.

Berita Harian X