Ahad, 28 Januari 2018 | 12:49pm

Kes JKNS: 4 disambung reman

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini membenarkan tempoh tahanan reman tiga jurutera Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dan seorang kontraktor yang ditahan berhubung kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa disambung tiga hari lagi hingga Rabu depan.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengeluarkan perintah itu berikutan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Tiga suspek berusia 37, 39, dan 58 itu adalah jurutera di JKNS manakala seorang lagi kontraktor berumur 58 tahun, sebelum ini direman tujuh hari.

Sehingga ini, SPRM menahan lima individu untuk membantu siasatan kes itu.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi sebelum ini mendedahkan sebanyak RM5.3 juta wang tunai dan simpanan dalam beberapa bank milik semua suspek dan ahli keluarga mereka disita dan dibekukan.

Selain itu, beberapa hartanah milik suspek yang ada di Johor, Kuala Lumpur dan Sabah disekat bagi mengelak dijual atau ditukar milik sepanjang tempoh siasatan.

Kebanyakan projek disiasat dalam kes itu berkaitan dengan penyelenggaraan landasan dan kereta api dari tahun 2012 hingga tahun lalu termasuk peruntukan kecemasan dengan ada antaranya tidak dilaksanakan.

Difahamkan ketiga-tiga pegawai JKNS terbabit menerima suapan berjumlah lebih RM3 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

22 dibaca
Berita Harian X