Ahad, 28 Januari 2018 | 11:47am

Kes JKNS: Kontraktor direman lima hari

KOTA KINABALU: Individu kelima yang ditahan petang semalam berhubung siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) direman lima hari hingga Khamis depan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus berikutan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Individu berumur 60 tahun, iaitu seorang kontraktor sebuah syarikat yang terbabit dalam siasatan SPRM berhubung kes jabatan kerajaan Sabah itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Sabah, petang semalam.

Sumber berkata, SPRM menemui wang tunai berjumlah RM1.6 juta ketika menggeledah rumah lelaki itu pada Rabu lalu sebelum memanggilnya memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Minggu lalu, SPRM menahan tiga pegawai JKNS masing-masing berusia 37, 39 dan 58 tahun dan seorang kontraktor berumur 42 tahun untuk membantu siasatan kes sama.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi sebelum ini mendedahkan wang tunai sebanyak RM5.3 juta dan simpanan dalam beberapa bank milik lelaki terbabit dan ahli keluarga mereka disita dan dibekukan.

Selain itu, beberapa hartanah milik mereka di Johor, Kuala Lumpur dan Sabah dibekukan bagi mengelak dijual atau ditukar milik sepanjang tempoh siasatan.

Kebanyakan projek disiasat dalam kes itu berkaitan dengan penyelenggaraan landasan dan kereta api, termasuk peruntukan kecemasan dengan ada antaranya tidak dilaksanakan.

Berita Harian X