Sabtu, 27 Januari 2018 | 10:52pm

Kes JKNS: Seorang lagi kontraktor ditahan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi pemilik syarikat, bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), petang tadi.

Sumber yang rapat dengan SPRM memaklumkan pemilik syarikat itu ditangkap di pejabat SPRM Sabah, ketika hadir memberi keterangan.

Menurut SPRM, hasil geledah terhadap rumah suspek dengan kehadiran isteri dan anaknya pada 24 Januari lalu, telah menemui wang tunai berjumlah RM1.6 juta.

"Semua wang itu telah disita untuk disiasat jika ada kaitan dengan kes.

"Kita juga akan memohon reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi esok, selain permohonan sambung reman terhadap empat lagi suspek membabitkan tiga pegawai JKNS dan seorang kontraktor," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, mengesahkan penahanan suspek.

Pada 23 Januari lalu, empat individu iaitu tiga pegawai JKNS dan seorang kontraktor syarikat ditahan reman hingga esok, berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa jabatan kerajaan negeri itu.

Berdasarkan siasatan awal SPRM, tiga pegawai JKNS terbabit dipercayai menerima suapan daripada kontraktor bernilai lebih RM3 juta sejak tahun 2011.

13 dibaca
Berita Harian X