Jumaat, 26 Januari 2018 | 4:53pm

Polis rakam keterangan Siti Hasmah

KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan daripada Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berikutan pembabitan beliau dalam perhimpunan tanpa notis, tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata kehadiran pegawai polis untuk merakam keterangannya hari ini adalah bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan.

"Beliau terbabit dalam satu perhimpunan yang dianjurkan tanpa notis di hadapan Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman pada 10 September, tahun lalu.

"Rakaman keterangan yang diambil adalah bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan," katanya ringkas kepada BH ketika dihubungi.

Terdahulu, anak kepada Siti Hasmah, Datin Marina Mahathir menerusi akaun Twitternya memaklumkan polis mengambil keterangan ibunya, hari ini.

Pada 10 September lalu, sekumpulan aktivis wanita menganjurkan perhimpunan dikenali sebagai 'Wanita Bantah Politik Toksik' di ibu kota bagi menyatakan bantahan terhadap politik toksik.

Antara tuntutan perhimpunan itu adalah bantahan terhadap politik toksik yang semakin berleluasa, membantah perlakuan berunsur keganasan, perbuatan ancaman terhadap individu dan sikap berunsur rasis serta seksis serta menolak calon daripada parti yang menggunakan keganasan dan juga politik toksik.

Siti Hasmah dilaporkan memberi ucapan ringkas, yang menggesa wanita memainkan peranan mereka menghentikan politik toksik di negara ini.

Selain Dr Siti Hasmah perhimpunan turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Berita Harian X