Khamis, 25 Januari 2018 | 12:09pm
ANGGOTA SPRM membawa empat individu umur antara 37 hingga 58 tahun ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu berhubung siasatan pemberian rasuah melibatkan projek-projek JKNS bermula 2012 hingga 2017. - Foto Khairull Azry Bidin.

Kes JKNS: RM5.3 juta disita, dibekukan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan beberapa lagi akaun bank milik empat suspek yang ditahan dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa pegawai Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), menjadikan keseluruhan wang disita dan dibekukan ialah RM5.3 juta setakat semalam.

Sumber SPRM berkata, jumlah itu meliputi wang tunai ditemui daripada suspek dan simpanan dalam beberapa akaun bank yang dibekukan dengan turut membabitkan ahli keluarga keempat-empat suspek, iaitu isteri dan anak mereka.

Difahamkan, jumlah itu dijangka terus bertambah berikutan ada akaun milik semua suspek dan ahli keluarga mereka yang masih diperiksa.

"Jumlah wang tunai dan simpanan dalam beberapa akaun bank yang dibekukan bertambah kepada RM5.3 juta setakat tengah hari semalam. Ia dijangka bertambah kerana masih ada akaun bank yang diteliti," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi ketika ditemui pemberita pada Taklimat Projek-Projek Khas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen anjuran Pejabat Kemajuan Negeri Sabah di sini, mendedahkan RM4 juta wang tunai serta simpanan dalam akaun bank disita dan dibekukan setakat kelmarin.

Beliau turut mendedahkan beberapa hartanah, termasuk rumah di Johor, Kuala Lumpur dan Sabah, milik suspek disekat supaya tidak boleh dijual atau ditukar tangan sepanjang siasatan.

Kebanyakan projek disiasat dalam kes itu berkaitan penyelenggaraan landasan dan kereta api, termasuk peruntukan kecemasan dengan ada antaranya tidak dilaksanakan.

Ahad lalu, SPRM menahan empat individu berhubung perbuatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan JKNS, iaitu Ketua Jurutera JKNS berusia 58 tahun yang juga Pemangku Timbalan Pengarah serta dua lagi jurutera jabatan itu yang masing-masing berusia 39 dan 37 tahun.

Difahamkan, ketiga-tiga pegawai JKNS itu menerima suapan berjumlah lebih RM3 juta sejak 2012 hingga tahun lalu.

Seorang lagi yang ditahan ialah kontraktor berumur 42 tahun.

Mereka direman tujuh hari hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Berita Harian X