Selasa, 23 Januari 2018 | 6:13pm
LELAKI berusia 40-an (depan) dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani untuk mendapatkan perintah tahanan reman kerana mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di kawasan 'Fun Fair' di Taman Ria, Sungai Petani, Sabtu lalu. - Foto Omar Osman

Pencabul kanak-kanak direman seminggu

SUNGAI PETANI: Lelaki dalam klip video yang dilihat mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di kawasan tapak pesta di Taman Ria, di sini, direman seminggu bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga 29 Januari ke atas suspek berusia dalam lingkungan 40-an itu dikeluarkan

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin, bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, suspek yang berbaju T kuning dilihat dibawa ke Mahkamah Sungai Petani untuk proses tahanan reman pada jam 9.35 pagi dengan kenderaan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata suspek direman bagi membantu siasatan selepas klip video memaparkan perbuatan suspek tersebar luas di media sosial.

Suspek ditahan jam 3.10 petang semalam oleh sepasukan polis ketika mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim ( HSAH) selepas mengalami cedera pada muka dipercayai akibat dipukul.

Sebelum ini, polis Kuala Muda dilaporkan memburu seorang lelaki yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dengan memasukkan tangan ke dalam baju mangsa ketika membawanya ke pesta berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 11 malam Sabtu lalu hingga 1 pagi di kawasan permainan dekat Taman Ria, di sini.

Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.

Berita Harian X