Ahad, 21 Januari 2018 | 5:38pm
SAKSI, Amirul Alif Halim.
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat Mohd Danish Haikal di Sungai Belat, Kampung Jaya Gading, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

Terkilan gagal selamatkan Haikal

KUANTAN: Kepenatan dan arus deras menyebabkan seorang pemancing gagal menyelamatkan Mohd Danish Haikal Semar yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh di Sungai Belat, Kampung Jaya Gading, dekat sini, petang semalam.

Menceritakan semula detik cemas itu, Amirul Alif Halim, 20, berkata dia yang sedang memancing dikejutkan dengan bunyi kayu patah dan seperti ada orang terjatuh sebelum melihat kelibat Mohd Danish Haikal terkapai-kapai di sungai.

"Saya lihat rakan-rakan mangsa pun seperti tergamam. Saya terus terjun untuk mendapatkan mangsa. Apabila saya bawa ke tebing, dia mula panik dan terus naik ke atas badan hingga menyebabkan saya berada dalam air.

"Beberapa kali saya cuba mengambil nafas namun tetap sukar kerana tidak berdaya untuk timbul. Kalau orang tengok saya seakan-akan bergelut ketika itu kerana perlu menyelamat dan berusaha mencari tebing untuk berpaut.

"Lama kelamaan, saya tidak berdaya dan arus semakin deras, saya gagal menyelamatkannya walaupun cuba mencapainya kembali," katanya yang terkilan kerana tidak berjaya membawa naik Mohd Danish Haikal ke tebing.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, Mohd Danish Haikal dipercayai terjatuh di sungai itu selepas berdiri pada sebatang kayu di sungai berkenaan ketika hendak mula memancing bersama dua lagi rakannya.

Kanak-kanak itu dikatakan sudah biasa memancing di sungai berkenaan yang terletak di belakang rumahnya namun dia tidak pandai berenang.

Sehingga jam 5 petang tadi, Mohd Danish Haikal yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Gading, di sini, belum ditemui dan operasi mencari serta menyelamat dijalankan Jabatan Bomba Dan Penyelamat, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul, berkata operasi mencari dan menyelamat yang ditangguhkan malam tadi disambung semula kira-kira jam 8 pagi yang turut membabitkan pasukan penyelamat di air (PPDA).

"Sehingga kini kita belum menemui kanak-kanak berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, ibu Mohd Danish Haikal, Nazira Mohd Yusof, 41, tetap menaruh harapan supaya anaknya itu dapat ditemui dalam apa juga keadaan dan mereka sekeluarga bersedia berdepan sebarang kemungkinan.

"Memang saya reda kalau anak ditakdirkan sudah pergi (meninggal dunia) tetapi kalau boleh biarlah dapat ditemui. Kami sekeluarga menghargai bantuan pelbagai pihak dalam usaha mencari Haikal," katanya.

Berita Harian X