Ahad, 21 Januari 2018 | 11:16am

4 maut motosikal bergesel di lebuh raya

 

IPOH: Empat lelaki maut selepas dua motosikal bergesel sesama sendiri dan melanggar belakang sebuah kereta di Kilometer 278.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 5.36 pagi itu, penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, Rafiq Hafizi Rahimi, 21, dan penunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja, Mohamad Syarif Mohamad Said, 30, maut di lokasi kejadian.

Pembonceng kedua-dua motosikal, Muhsin Mohamad Wazer, 23, dan Mohamad Hafiz Jabon, 33, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pagi tadi. 

Bagaimanapun, dalam kemalangan itu lelaki Orang Asli berusia 33 tahun yang memandu kereta Proton Iswara tidak cedera. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal berkenaan dalam perjalanan secara berkonvoi dari arah Simpang Pulai menghala ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua motosikal berkenaan dipercayai bergesel sesama sendiri dalam kelajuan yang tinggi.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua motosikal terbabit hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kereta PROTON Iswara berkenaan.

"Ketika kejadian, kereta berkenaan berada di hadapan kedua-dua motosikal berkenaan dan menghala arah yang sama.

"Susulan kemalangan itu, motosikal RXZ melambung sebelum jatuh ke jalan kecil di tepi lebuh raya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, dalam kejadian itu, dua penunggang maut di lokasi kejadian manakala dua pembonceng lagi disahkan meninggal dunia di HRPB pagi tadi. 

"Keempat-empat mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat. 

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

88 dibaca
DARI kiri; Muhsin Muhammad Wazer, Mohamad Hafiz Jabon, Mohamad Syarif Mohamad Said dan Rafiq Hafizi Rahimi, maut selepas dua motosikal bergesel sesama sendiri pada kelajuan tinggi dalam kemalangan di Kilometer 278.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara awal pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
EMPAT lelaki maut selepas dua motosikal bergesel sesama sendiri dalam kemalangan di Kilometer 278.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara awal pagi tadi. - Foto ihsan polis
Berita Harian X