Jumaat, 19 Januari 2018 | 5:58pm
KEADAAN kereta seorang lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 41.3 Lebuh Raya Utara Selatan - Foto ihsan pembaca

Lelaki maut, kemalangan 7 kenderaan

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 25 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 41.3 Lebuh Raya Utara Selatan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata kemalangan pada jam 12.50 tengah malam semalam itu membabitkan kereta, dua lori, van, lori kontena, jip dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan 15 mangsa.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori kontena yang dipandu oleh lelaki berusia 37 tahun gagal membrek kenderaannya, berikutan sebuah kereta yang berhenti kerana pemeriksaan polis di depan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta yang dipercayai dipandu oleh wanita berusia 28 tahun bersama penumpangnya berusia 28 tahun terperosok masuk ke bawah sebuah lori lain yang dipandu lelaki berusia 37 tahun, sekali gus menyebabkan lori berkenaan melanggar sebuah van dan sebuah MPV," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, MPV yang dilanggar lori itu berganjak ke depan dan terlanggar belakang sebuah jip, seterusnya jip itu terganjak ke depan dan melanggar belakang lori minyak.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang berada dalam kereta mengalami kecederaan parah manakala pemandu MPV yang berusia 63 tahun tidak cedera.

Beliau berkata, tujuh orang ahli keluarga yang juga penumpang kenderaan MPV berusia antara 18 hingga 36 tahun cedera manakala seorang daripada mereka meninggal dunia.

"Punca kemalangan dipercayai tidak membabitkan pengaruh alkohol atau dadah. Semua mangsa cedera dan mayat dihantar ke Hospital Kulai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

32 dibaca
Berita Harian X