Khamis, 18 Januari 2018 | 5:59pm

Cedera kereta jatuh atas landasan kereta api

SHAH ALAM: Seorang lelaki cedera ringan selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke landasan kereta api di jejambat Kilometer 22.3 antara Batu Tiga-Shah Alam berhampiran Jalan Persiaran Tengku Ampuan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian pada jam 10.15 pagi tadi, pemandu terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Klang.

"Nabil Hakim Mohd Ridzuan, 22, yang memandu kereta PROTON Wira itu datang dari arah Bulatan Megawati ke Bulatan Sejahtera.

"Pemandu terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke landasan keretapi.

"Pemandu yang mengalami cedera ringan dan memberitahu sakit belakang dikejarkan oleh pihak ambulans ke Hospital Shah Alam dan masih menunggu untuk pemeriksaan imbasan X-ray," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shafien berkata, susulan kejadian terbabit, satu landasan rel kereta api sebelah kiri ditutup oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Sementara itu, jurucakap KTMB berkata, insiden terbabit menyebabkan gangguan selama dua jam sehingga kereta yang menghalang laluan itu dialihkan dan pengesahan dibuat bahawa landasan itu selamat untuk digunakan semula.

"Insiden ini menyebabkan kelewatan perkhidmatan tren KTM Komuter kerana ia perlu beroperasi secara dua hala menggunakan satu landasan," katanya.

Berita Harian X