Khamis, 18 Januari 2018 | 5:25pm
SEBAHAGIAN dadah yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
SEBAHAGIAN dadah dan bahan yang digunakan untuk memproses dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Polis serbu makmal dadah, sita harta RM1.03 juta

IPOH: Polis menahan lapan anggota sindiket dadah selain merampas pelbagai bahan larangan itu dan menyita harta keseluruhan bernilai RM1.03 juta dalam tujuh serbuan di tiga negeri, termasuk sebuah rumah kedai yang dijadikan makmal memproses dadah di Jelapang, dekat sini, semalam.

Serbuan besar-besaran sehingga tertangkap kesemua suspek berusia 22 hingga 47 tahun itu dilakukan pasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dibantu Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) serta JSJN Perak di negeri ini, Selangor dan Negeri Sembilan, bermula jam 12 tengah hari, semalam hingga 11 malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata serbuan pertama dilakukan ke tingkat atas sebuah rumah kedai di Jelapang yang dijadikan makmal memproses dadah sebelum menahan lima suspek, termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga Sri Lanka.

Katanya, turut ditemui dalam serbuan itu bahan asas dadah jenis heroin dan heroin nombor tiga dianggarkan seberat enam kilogram (kg) serta kafein seberat kira-kira 60 kg selain bahan kimia serta peralatan memproses dadah.

"Serbuan seterusnya di sebuah rumah di Taman Puncak Jelapang, di sini pula sebanyak 225 gram heroin ditemui dalam premis berkenaan manakala 30 kg dadah jenis ganja ditemui dalam bonet belakang sebuah kereta.

"Nilai rampasan dadah dalam dua serbuan berkenaan dianggarkan bernilai RM619,412," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Hasnan berkata, dalam serbuan berasingan serentak di Damansara, Selangor, polis menahan tiga lagi lelaki dipercayai turut terbabit dalam sindiket berkenaan dan kemudian menyita beberapa kenderaan kenderaan di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, secara keseluruhan polis menyita tujuh kenderaan dengan nilai keseluruhan sitaan harta berkenaan bernilai RM410,700 dalam ketiga-tiga serbuan di tiga negeri berkenaan, selain merampas wang tunai RM1,700.

Beliau berkata, polis percaya sindiket berkenaan beroperasi sejak dua bulan lalu di bandar raya ini dan menyasarkan pasaran di ketiga-tiga negeri itu.

"Siasatan mendapati sindiket itu menghasilkan dadah berdasarkan pesanan diterima sebelum memproses dadah berkenaan di makmal terbabit dan dijual," katanya.

Hasnan berkata, semakan mendapati enam suspek yang ditahan di negeri ini mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah manakala suspek warga Sri Lanka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah berikutan pasportnya sudah tamat tempoh.

Katanya, bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati keenam-enam mereka negatif dadah.

"Semua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis akan mengesan saki baki anggota sindiket itu," katanya.

71 dibaca
Berita Harian X