Selasa, 16 Januari 2018 | 9:12pm
ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Indera Mahkota berusaha mengawal dan memadamkan kebakaran sederet tiga buah rumah di perkampungan Sungai Isap. - Foto ihsan pembaca NSTP
TENGKU Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melawat kawasan kebakaran yang membabitkan tiga buah rumah di perkampungan Sungai Isap lewat petang tadi. - Foto ihsan pembaca NSTP
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melawat kawasan kebakaran yang membabitkan tiga buah rumah di perkampungan Sungai Isap lewat petang tadi. - Foto ihsan pembaca NSTP
ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Indera Mahkota berusaha mengawal dan memadamkan kebakaran sederet tiga buah rumah di perkampungan Sungai Isap. - Foto ihsan pembaca NSTP

'Asap hitam tebal sangka orang bakar tayar'

KUANTAN: Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah masing-masing musnah dalam kebakaran di Perkampungan Sungai Isap 2, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, tiga deret rumah teres setingkat hangus dan tiada kemalangan jiwa manakala mangsa hanya cedera ringan.

Mangsa yang juga peniaga, Wan Nor Azlin Wan Hamid, 54, berkata beliau bersama suami, Baharuddin Sulaiman, 51, berniaga di warung sebelum suaminya pulang ke rumah untuk mengambil air namun bergegas semula ke warungnya memaklumkan rumah mereka terbakar.

"Memang saya ada nampak asap hitam tebal dan menyangka ada orang bakar tayar tetapi tiba-tiba suami datang sambil menjerit rumah terbakar.

"Kami tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan harta-benda malah suaminya turut melecur di tangan kiri akibat disambar api ketika cuba mengalihkan meja yang berada di beranda rumah.

"Sudah lebih 10 tahun kami tinggal di sini , saya tidak dapat memastikan jumlah kerugian sebenar dan reda dengan ujian Allah SWt selain bersyukur suami tidak mengalami kecederaan serius," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Siti Rohana Wan Ahmad, 41, berkata ketika kejadian beliau menonton televisyen di ruang tamu namun terhidu bau hangit dari biliknya lalu bergegas melakukan pemeriksaan.

"Saya terkejut melihat api sedang merebak dengan pantas. Saya menjerit dan mengarahkan anak bongsu berusia lima tahun keluar dari bilik untuk menyelamatkan diri lalu ke rumah jiran meminta bantuan.

"Saya tidak sangka api yang bermula di rumah saya merebak pantas sekali gus memusnahkan dua lagi rumah jiran," katanya turut cedera di tangan kiri.

Siti Rohana yang mempunyai tiga anak berusia lima hingga 22 tahun berkata, ketika kejadian suaminya, Samhari Abdullah, 51, tiada di rumah kerana bekerja.

Sementara itu , Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Asrul Riezal Asbar berkata, seramai 31 anggota dan enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Indera Mahkota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

"Tiga jentera dan dua lori tangki dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota bersama sebuah ambulans EMRS digunakan dalam operasi memadamkan kebakaran itu," katanya ketika ditemui selepas operasi memadamkan api tamat sepenuhnya jam 5.40 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah bilik di rumah Siti Rohana lalu merebak sekali gus memusnahkan dua rumah jirannya.

Sementara itu, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat semua mangsa dan menyampaikan sumbangan peribadi.

Berita Harian X